Saudara sekalian, saya ingin kongsi bersama dengan saudara sekalian mengenai konsep Pasar Tani sekarang ini yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya. Isu ini juga telah saya bincangkan secara live dalam ruangan BESTANI Nasional FM (Radio 1) pada 4hb.July 2006 jam 12.20-1.00tgh bersama Juruhebah Shahizan Jelas. Saya ingin menggesa Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani segera memantau konsep Pasar Tani yang sekarang ini telah banyak menyeleweng dari konsep asalnya.Saya telah meninjau ke Pasar Tani Mega di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban baru-baru ini dan amatlah kecewanya kerana peniaga disini banyak yang menjual pakaian, kraftangan, alat solek dan barang-barang lain yang bukannya produk hasil pertanian. Hanya segelintir peniaga yang menjual udang, ikan, daging dan sayur.
Pasar Tani diwujudkan dalam tahun 1980an yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertanian ketika itu YB.Goh Cheng Teik hasil dari idea dan konsep kertas kerja asalnya dari bekas Presiden PAC En.Bishan Singh dan juga saya selaku Penolong Setiausaha PAC ketika itu bersama dalam menyediakan kertas kerja konsep asal pasar tani ini yang kemukakan oleh Persatuan Pengguna Pahang (PAC) kepada Kementerian Pertanian . Ianya adalah bertujuan menyediakan satu lokasi perniagaan kepada golongan petani memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah yang meraih keuntungan.Disamping itu, ianya bertujuan untuk meningkatkan ekonomi petani kecil melalui perniagaan hasil tanaman mereka sendiri dan para pengguna> dapat membeli dengan harga yang berpatutan keatas barangan makanan serta sayuran yang berkualiti. Sebaliknya hari ini, Pasar Tani Mega yang banyak dilancarkan lebih kepada jualan barangan bukan hasil pertanian dan mereka yang menjualnya bukanlah petani. Kenapa ini berlaku? adakah negara kita sudah tiada petani? atau petani kita tak tau berniaga? .Pada pendapat saya bukan soal kurangnya jumlah petani menghasilkan produk untuk jualan tetapi mereka ini adalah sukar untuk memasarkan ke Pasar Tani kerana tiada sistem penghantaran dan pengangkutan yang boleh membantu pemasaran yang berterusan. Dahulu FAMA sering membantu dalam hal ini tetapi sekarang kita tak nampak lagi lori FAMA pergi ke kampong-kampong. Sebaliknya FAMA dengan syarikat swasta sekarang ini yang menguruskan pemasaran dan memperolehi keuntungan sepenuhnya. Dengan kata lain FAMA lah orang tengah yang ambil keuntungan yang mengcengkik petani sekarang ini.Pemantauan perlu dibuat dan garispanduan barang-barang yang boleh dijual atau barang yang tidak boleh dijual perlu dikuatkuasakan secara pentadbiran oleh pihak Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani serta kerjasama pemantauannya oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan. Kita tidak mahu Pasar Tani Mega sekarang ini menjual produk-produk kurang selamat, bahaya dan tidak berkualiti yang dibawa masuk dari negara asing. Kita tidak mahu imej Pasar Tani Mega menjadi imej Pasar Malam. Satu rancangan tindakan bersepadu bagi mengenalpasti peniaga dari golongan petani kecil perlu dilakukan dan tanya apa masalah mereka kenapa tak memasarkan produk ke Pasar Tani. Petani kecil pula haruslah mewujudkan persatuan yang khusus dapat membantu dalam segi pemasaran hasil. Dengan adanya Pasar Tani yang benar-benar berkonsepkan hasil pertanian sebenar serta golongan peniaga tani yang secara terus kepada pengguna sudah tentu akan memberikan faedah dan para pengguna seharusnya menyokong dan berbelanja di Pasar Tani seperti ini yang akan dapat membantu negara kita mewujudkan pengaliran wang dan ekonomi mampan yang seimbang dikalangan rakyat berpendapatan rendah bagi mengurangi keuntungan mengalir kepada syarikat gergasi yang telah kaya raya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home